.

KALIMAH SYAHADAH

KALIMAH SYAHADAH
Ertinya : Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah

Tuesday, August 3, 2010

GANGGUAN SOLAT



Hadith :
Diceritakan oleh Ibnu Umar r.a bahawa nabi s.a.w pernah bersabda ketika perang di Khaibar:”Sesiapa yang memakan buah ini, iaitu bawang, maka janganlah dia mendekati masjid kita ini.”

(al-Bukhari)


HuraianBawang adalah sejenis tumbuhan makanan yang jika dimakan secara mentah akan menjadikan mulut si pemakan itu berbau busuk. Hal ini sudah tentu akan mengganggu orang lain yang duduk atau solat berdekatan dengan si pemakan. Oleh itu Rasulullah s.a.w tidak menggalakkan umatnya berbuat demikian lebih-lebih lagi apabila hendak bersolat secara berjamaah. Demikianlah Islam begitu menjaga segenap aspek kesopanan dalam beribadat yang bukan sahaja tertumpu kepada hubungan dengan Allah malah sesama manusia juga supaya masing-masing dapat menghayati solat yang dikerjakan dengan sebaik-baiknya.

RAHMAT ATAU LAKNAT


Rahmat Atau Laknat
Hadith :
Dari ‘Atha’ bin Abu Rabah r.a katanya, dia mendengar Aisyah isteri Rasulullah saw. bercerita:”Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah Rasulullah saw sehingga baginda maju mundur (berjalan mundar-mandir). Apabila hujan telah turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan hilang kegelisahannya. Berkata Aisyah:”Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda gelisah sebegitu rupa.” Jawab baginda,:”Aku khuatir kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat.”

(Muslim)


HuraianAllah SWT menyuruh kita hamba-hambanya agar sentiasa melakukan apa yang disuruh-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.Maka selaku manusia yang ditugaskan menjadi khalifah Allah, wajib ke atas kita menjalankan perintah Allah itu tanpa rasa malas, angkuh dan sombong atau dengan lain perkataan menderhakai Allah dengan melakukan berbagai kemaksiatan di muka bumi ini. Sesungguhnya apabila kemurkaan Allah menjelma akibatnya amat dahsyat sekali sebagaimana yang telah berlaku pada kaum ‘Add yang hanyut dengan seribu satu kemaksiatan hingga pada suatu ketika telah datang kepada mereka awan mendung dan mereka berkata:”Inilah awan-awan yang akan menurunkan hujan bagi kita...” Namun ternyata bahawa hal yang sebaliknya berlaku di mana kebaikan yang mereka sangkakan akan mendatangi mereka sebenarnya adalah satu bala (malapetaka) yang diturunkan Allah akibat dari kejahatan yang mereka lakukan. Mengingatkan hal inilah, Rasulullah saw. akan merasa resah gelisah setiap kali awan mendung berarak, memikirkan sama ada ia merupakan satu rahmat atau satu laknat daripada Allah SWT. Oleh itu sebagai umat Islam, kita ini hendaklah sentiasa beringat dan menjauhi perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, berbagai-bagai malapetaka alam yang terjadi seperti gempa bumi, taufan, letupan gunung berapi, banjir besar, ombak besar dan sebagainya berlaku dan sesungguhnya segala peristiwa tersebut sebenarnya mempunyai pengajaran (mesej) yang tersendiri untuk umat manusia seluruhnya di mana hanya manusia yang benar-benar beriman dan beramal soleh serta yang diberi taufik dan hidayah sahaja yang akan sedar dan mengambil iktibar daripadanya.

HATI YANG SELALU MUDA


Hati Yang Selalu Muda
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda.”

(Muslim)


HuraianKehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda. Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, ’rumah kata pergi, kubur kata mari’, masih juga bergelumang dengan dosa. Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati. Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan. Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.”

ADAB2 BERHIAS


Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat Ibnu Mas’ud



Huraiani) Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan. ii) Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.iii) Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu cantik dan sukakan kecantikan.iv) Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat/menjaga itu adalah HARUS manakala mengubahnya adalah HARAM.v) Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah S.W.T, Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan.

KULIAH / CERAMAH / TAZKIRAH BULANAN

TARIKH : 29/06/2010

MASA : Lepas Solat Maghrib

TEMPAT : Surau Taman Sri Indah


GURU : Ustaz Fadzil

PENGAJIAN : Tauhid